
PUTRAJAYA, 31 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan persembahan dramatari Darah Pahlawan Ulu Legong sempena Hari Pahlawan 2026 bukan sekadar hiburan, sebaliknya mengingatkan rakyat bahawa kebebasan, keamanan dan kemerdekaan negara terhasil daripada pengorbanan anggota pasukan pertahanan.
Beliau berkata, generasi masa kini perlu terus mengenang jasa para perwira yang mempertahankan kedaulatan negara.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan kerana berjaya mengingatkan generasi sekarang tentang erti sebenar kemerdekaan dan pengorbanan mempertahankannya,” katanya selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan 2026 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.
Beliau turut mendoakan agar seluruh anggota pasukan keselamatan sentiasa dilindungi dalam melaksanakan amanah kepada negara.
