TAPISAN KESELAMATAN DILAKSANAKAN SECARA MENYELURUH BAGI MEMASTIKAN PENGESAHAN STATUS YANG SAH

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan tapisan keselamatan secara menyeluruh terhadap setiap individu yang terlibat dalam proses Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memastikan pengesahan identiti, semakan latar belakang dan penentuan status pelarian dibuat secara teliti sebelum sebarang dokumen pengesahan dikeluarkan.

“Tapisan keselamatan yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia merupakan langkah penting bagi memastikan setiap individu melalui proses pengesahan identiti, semakan keselamatan dan penentuan status secara telus, profesional serta mengikut prosedur yang ditetapkan.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Menteri Dalam Negeri

Proses tapisan ini dilaksanakan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). PDRM menjalankan semakan latar belakang, rekod jenayah, aspek keselamatan serta profil individu, manakala JIM mengesahkan identiti, status imigresen, rekod perjalanan dan kesahihan dokumen mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tapisan tersebut merangkumi empat komponen utama iaitu pengesahan identiti yang sah, semakan latar belakang dan rekod keselamatan, semakan rekod perjalanan keluar masuk negara, serta pengesahan status pelarian berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Hanya individu yang melengkapkan keseluruhan proses ini akan diberikan keputusan mengenai status mereka dan seterusnya menerima dokumen pengesahan.

Ketika ini terdapat kira-kira 22,000 penghuni di 19 Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara, dengan sekitar 4,000 warga Myanmar dikenal pasti untuk menjalani proses tapisan. Pendekatan ini memastikan pelaksanaan penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan dan memelihara keselamatan negara, selaras dengan undang-undang serta dasar Kerajaan MADANI.

Sumber: Sidang Media Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah, Bukit Kayu Hitam, Kedah, 30 Julai 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *