PROSES TAPISAN PELARIAN ROHINGYA DILAKSANAKAN SECARA BERFASA, TELUS DAN BERINTEGRITI

1 Ogos 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses tapisan pelarian Rohingya melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sebagai mekanisme pengesahan status pelarian yang dilaksanakan secara sistematik, telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Pendekatan ini memastikan setiap individu melalui proses pengesahan identiti, tapisan keselamatan dan penentuan status sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Setiap proses dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berpandukan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan pengesahan identiti, tapisan keselamatan serta penentuan status dilakukan secara telus demi kepentingan keselamatan negara.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Menteri Dalam Negeri

Proses DPP merangkumi empat peringkat utama, iaitu pengesanan dan pengenalpastian individu, tapisan keselamatan, penentuan status pelarian serta pengeluaran dokumen pengesahan selepas semua proses selesai dilengkapkan. Setiap peringkat dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan pengurusan kes berjalan dengan teratur dan mematuhi kehendak undang-undang serta dasar kerajaan.

Pelaksanaan proses ini turut melibatkan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). PDRM bertanggungjawab melaksanakan tapisan keselamatan serta semakan latar belakang, manakala JIM mengendalikan pengesahan identiti dan dokumentasi mengikut prosedur imigresen yang berkuat kuasa.

KDN komited memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti dengan menghormati kedaulatan undang-undang negara, di samping memperkukuh keselamatan serta kepentingan nasional melalui pengurusan migrasi yang teratur dan berkesan.

Sumber: Sidang Media Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah, Bukit Kayu Hitam, Kedah, 30 Julai 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *