Anwar: Bonus 13 Bulan Ketika Tabung Haji Rugi Satu Pengkhianatan Amanah

SEREMBAN, 31 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan memberikan bonus sehingga 13 bulan kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika institusi itu didakwa mengalami kerugian sebagai satu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara penemuan penting yang didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap tadbir urus institusi kewangan Islam berkenaan.

“Bagaimana sebuah syarikat yang mengalami kerugian boleh melaporkan keadaan sedemikian? Bagaimana pula ganjaran boleh diberikan tanpa mengambil kira kedudukan sebenar institusi?” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, Negeri Sembilan, hari ini.

Anwar berkata beliau sendiri berasa amat kecewa dengan dapatan laporan tersebut kerana ia melibatkan sebuah institusi yang diwujudkan bagi mengurus amanah umat Islam.

“Saya sendiri marah. Sebuah institusi agama, institusi Islam, dimalukan oleh orang Melayu yang diberikan amanah. Bagi saya, pecah amanah itu adalah satu pengkhianatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membaca dan meneliti keseluruhan laporan RCI sebelum membuat sebarang kesimpulan, sambil menegaskan isu itu tidak seharusnya dipolitikkan atau dilihat semata-mata dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung esok.

“Ini bukan soal undi. Isunya terlalu besar. Sama ada pengundi dapat memahami sepenuhnya dalam masa singkat itu soal lain. Bagi saya, menang atau kalah, perkara seperti ini tidak boleh diterima,” katanya.

Latar belakang RCI

Laporan RCI yang didedahkan kerajaan baru-baru ini meneliti pengurusan TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 dan mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus serta amalan perakaunan yang dipersoalkan.

Antara penemuan yang mendapat perhatian ialah dakwaan pembayaran bonus kakitangan antara dua hingga 13 bulan gaji bagi tempoh tertentu walaupun kedudukan kewangan TH ketika itu didakwa tidak mencerminkan prestasi yang kukuh.

RCI turut membangkitkan isu penggunaan kaedah perakaunan yang didakwa tidak mematuhi piawaian pelaporan kewangan sepenuhnya, pembayaran hibah ketika kedudukan kewangan tidak mengizinkan, serta kelemahan dalam proses membuat keputusan pelaburan.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa beberapa syor RCI telah mula dilaksanakan, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneliti aspek yang memerlukan siasatan lanjut berdasarkan dapatan suruhanjaya tersebut.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *