
KUALA LUMPUR, 1 Ogos β Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pendigitalan usahawan wanita dengan menggalakkan mereka memanfaatkan pelbagai kursus berkaitan Kecerdasan Buatan (AI), pemasaran digital dan keusahawanan yang ditawarkan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, teknologi AI kini menjadi pemangkin penting bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta memperluaskan pasaran perniagaan usahawan tempatan dalam era ekonomi digital.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan pelbagai modul latihan di pusat NADI dengan kerjasama rakan strategik, disesuaikan mengikut keperluan dan permintaan komuniti setempat.
Selain latihan AI, NADI turut menawarkan kursus keusahawanan digital (e-Usahawan), strategi pemasaran serta pelbagai kemahiran perniagaan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital.
Teo berkata, komitmen kerajaan memperkasakan wanita dalam sektor keusahawanan turut diperkukuh melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) yang disediakan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi memperluaskan penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi negara.
Beliau turut menyifatkan pemeteraian enam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC WEC) dengan rakan strategik sebagai langkah positif dalam memperkukuh pembangunan usahawan wanita, khususnya dalam aspek transformasi digital, penggunaan AI dan latihan kemahiran.
