
GLASGOW, 3 Ogos – Malaysia kembali mengukir kejayaan di pentas Sukan Komanwel apabila gandingan Norazian Daud dan Jariah Zakaria menghadiahkan pingat gangsa acara beregu wanita B6-B8 sekali gus menamatkan penantian 24 tahun skuad para boling padang negara untuk meraih pingat di temasya berprestij itu.
Pasangan negara mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan wakil tuan rumah Scotland, Mary Wilson dan Pauline Wilson, 10-3, 7-3 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Scottish Event Campus, Glasgow.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadi pingat sulung buat Norazian dan Jariah pada penampilan pertama mereka di Sukan Komanwel, malah mengembalikan kegemilangan skuad para boling padang negara selepas kali terakhir memenangi pingat gangsa pada edisi Manchester 2002.
Pencapaian tersebut turut mengukuhkan reputasi pasangan berkenaan yang sebelum ini muncul juara acara beregu wanita pada Kejohanan Boling Asia bagi Orang Kurang Upaya Keempat 2024, sekali gus membuktikan konsistensi mereka di pentas antarabangsa.
Pingat emas acara itu dimenangi pasangan Australia, Louise Hoskins dan Serena Bonnell, manakala wakil New Zealand, Julie O’Connell dan Teri Blackbourn membawa pulang pingat perak.
