
PUTRAJAYA, 31 Julai 2026 – Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, telah merasmikan Program Continuous Learning Programme (CLP) Ahli Lembaga Pengarah Kementerian Kewangan (MOF) di Auditorium Kementerian Kewangan dengan penyertaan seramai 180 pegawai MOF.
Program berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh kompetensi pegawai yang melaksanakan peranan strategik berkaitan tadbir urus entiti kerajaan, khususnya wakil MOF dalam Lembaga Pengarah syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] serta badan berkanun Persekutuan dan negeri.
Pelaksanaan CLP mendapat sokongan pihak yang menjalankan fungsi pemantauan, termasuk Government Investment Companies Division (GIC) dan Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun (SBM).
Seusai perasmian, program diteruskan dengan forum bertajuk “Memperkasa Entiti Milik Kerajaan Mendepani Masa Hadapan, Merealisasikan Aspirasi Kerajaan”, yang menghimpunkan tokoh berpengalaman dalam bidang kewangan, tadbir urus dan kepimpinan korporat.
Perbincangan memberi penekanan terhadap amalan tadbir urus yang baik, akauntabiliti serta peranan strategik Lembaga Pengarah dalam menentukan hala tuju organisasi berasaskan mandat penubuhannya.
Inisiatif ini selari dengan usaha Kerajaan untuk memperkukuh pengurusan entiti kerajaan supaya lebih berkesan dan berintegriti, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara.
SUMBER:
Kementerian Kewangan Malaysia
