
CARACAS, 4 Ogos – Venezuela terus berdepan kesan buruk bencana gempa bumi apabila jumlah korban meningkat kepada 6,125 orang, manakala operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Ketua Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez, memaklumkan angka korban terbaharu itu meningkat daripada 5,546 kematian yang dilaporkan sebelum ini susulan dua gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 yang melanda negara itu pada 24 Jun lalu.
Bencana tersebut mengakibatkan hampir 17,000 orang cedera, manakala media tempatan melaporkan kira-kira 1,400 individu masih hilang, dengan operasi mencari terus dipergiat oleh pasukan penyelamat bersama ahli keluarga mangsa.
Pihak berkuasa turut memaklumkan sebanyak 190 bangunan musnah sepenuhnya, selain 6,433 struktur dikategorikan berisiko tinggi dan 9,866 bangunan hanya boleh diduduki secara terhad berikutan kebimbangan terhadap keselamatan.
Sehingga kini, hampir 24,000 penduduk di La Guaira dan Caracas ditempatkan di pusat perlindungan sementara selepas kehilangan kediaman akibat bencana tersebut.
Dalam usaha membantu mangsa membina semula kehidupan, Parlimen Venezuela telah meluluskan undang-undang bagi memudahkan urusan penyewaan hartanah kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal. Undang-undang itu dijangka berkuat kuasa selepas diperkenankan oleh pemimpin interim, Delcy Rodriguez.
