
TEHRAN, 5 Ogos – Rundingan antara Iran dan Oman berhubung pewujudan laluan perkapalan yang lebih selamat di Selat Hormuz dilaporkan menunjukkan perkembangan positif, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh keselamatan pelayaran di laluan perdagangan strategik dunia itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata rundingan yang kini memasuki peringkat teknikal dan politik memberi tumpuan kepada pembentukan mekanisme bersama bagi menguruskan pergerakan kapal, dengan sebarang keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas semua rundingan selesai.
Menurut beliau, laluan baharu yang dicadangkan perlu menjamin kedaulatan serta kepentingan keselamatan kedua-dua negara, selain memastikan kelancaran operasi perkapalan di Selat Hormuz pada masa hadapan.
Media kerajaan Iran turut melaporkan koridor baharu itu dijangka menggantikan laluan utara dan selatan yang digunakan ketika ini, selaras dengan usaha memperkukuh kawalan terhadap perairan strategik negara.
Perkembangan tersebut berlaku susulan ketegangan yang berlarutan di Selat Hormuz selepas Iran mengetatkan kawalan terhadap kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika Syarikat pada Februari lalu, diikuti siri tindakan ketenteraan antara kedua-dua pihak yang meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan global.
Rundingan Iran dan Oman itu dilihat sebagai langkah penting ke arah mewujudkan pengurusan laluan perkapalan yang lebih tersusun, sekali gus mengurangkan risiko gangguan terhadap aliran perdagangan dan bekalan tenaga antarabangsa.
