OP KLIA: JSJN PDRM PATAHKAN LALUAN PENYELUDUPAN DADAH ANTARABANGSA

5 Ogos 2026

Smart Enforcement KDN Perkukuh Kawalan Pintu Masuk Negara

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), terus memperkukuh pendekatan Smart Enforcement apabila berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menerusi Op KLIA, dengan nilai rampasan mencecah RM21.26 juta.

“KDN akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk negara melalui penguatkuasaan berasaskan risikan, teknologi dan kerjasama strategik. Tiada kompromi terhadap mana-mana sindiket yang cuba menjadikan Malaysia sebagai laluan penyeludupan dadah antarabangsa.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri

Operasi tersebut merekodkan 9 kes dengan 13 tangkapan melibatkan warga tempatan dan warga asing yang disyaki bertindak sebagai keldai dadah. Rampasan melibatkan 260.08 kilogram bunga ganja dan 1.01 kilogram kokain dengan nilai keseluruhan RM21.26 juta.

Kejayaan ini dianggarkan berjaya melindungi seramai 525,226 orang daripada ancaman penyalahgunaan dadah, sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan bersepadu KDN dan PDRM dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

KDN komited untuk terus memperhebat Smart Enforcement melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan serta kerjasama antara agensi bagi memastikan keselamatan pintu masuk negara sentiasa terpelihara dan Malaysia kekal bebas daripada ancaman sindiket dadah antarabangsa.

Sumber: Sidang Media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia, 4 Ogos 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *