ABIM TERUS MEMPERKASA DAKWAH, PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN UMMAH PADA USIA 55 TAHUN

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) terus melakar sejarah sebagai sebuah gerakan dakwah dan pembangunan belia Islam yang berperanan penting dalam memperkukuh nilai keilmuan, kepimpinan serta pembangunan ummah sepanjang 55 tahun penubuhannya.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-55 ABIM, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap peranan pertubuhan itu yang disifatkan sebagai pelanjut perjuangan mahasiswa dan gerakan dakwah yang berteraskan jati diri harakah Islamiah.

Menurut beliau, usia 55 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan perjalanan perjuangan yang dibina atas asas pengorbanan, adab, akhlak serta kepercayaan dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam dan pembangunan masyarakat.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa suara dakwah bukan hanya bergema di mimbar, malah menjadi nadi yang menghidupkan umat melalui usaha menyantuni golongan mustadh’afin, mendidik generasi muda, mengangkat martabat insan serta menyemarakkan semangat perjuangan dalam menghadapi cabaran semasa.

Beliau turut menzahirkan harapan agar ABIM terus istiqamah memperkukuh peranannya sebagai sebuah gerakan yang berakar kukuh kepada nilai-nilai murni, teguh menghadapi cabaran serta terus menjadi payung yang menaungi dan membimbing masyarakat ke arah kesejahteraan, perpaduan dan kemajuan negara.

Kerajaan MADANI menghargai sumbangan pertubuhan masyarakat sivil seperti ABIM yang terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan insan, menyemai nilai ihsan, memperkukuh perpaduan dan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak serta berdaya tahan.

Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-55 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *