
BESUT, 8 Ogos – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan mempergiat saringan dadah terhadap kru penerbangan susulan langkah Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan ke atas semua juruterbang dan kru kabin aktif.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kerjasama dengan syarikat penerbangan telah dilaksanakan sejak tahun lalu bagi memperkukuh usaha pengesanan serta pencegahan penyalahgunaan dadah dalam sektor penerbangan.
Menurut beliau, pelaksanaan saringan perlu disusun dengan mengambil kira jadual tugas kru penerbangan bagi memastikan proses pemeriksaan berjalan teratur tanpa menjejaskan operasi penerbangan.
Beliau turut menggalakkan sektor penerbangan memperkukuh pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) sebagai langkah pencegahan berterusan.
AADK juga bersedia menyediakan khidmat nasihat serta latihan kepakaran berkaitan kaedah ujian saringan kepada industri penerbangan bagi membantu memperkukuh aspek keselamatan di tempat kerja.
Ruslin menyambut baik langkah MAG memperketatkan saringan dadah sebagai tindakan proaktif dalam memastikan keselamatan pengangkutan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sebelum ini, operasi pengesanan penyalahgunaan dadah terhadap kru penerbangan AirAsia dilaksanakan pada Disember 2025, manakala saringan terhadap kru Malaysia Airlines dijalankan pada April 2026.
Sumber: AADK
