
BOGOTA, 10 Ogos – Sekurang-kurangnya 20 orang maut selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 melanda Colombia pada Isnin, dengan beberapa penduduk dipercayai masih terperangkap dalam bangunan yang runtuh.
Datuk Bandar Pereira, Mauricio Salazar berkata, 18 kematian dilaporkan di bandar itu, manakala situasi masih kritikal susulan beberapa bangunan runtuh.
Di Manizales pula, dua orang dilaporkan maut, menurut Datuk Bandar Jorge Eduardo Rojas.
Sementara itu, Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder memaklumkan sekurang-kurangnya 20 bangunan runtuh, dengan beberapa penduduk masih dipercayai terperangkap.
Beliau menggesa penduduk segera meninggalkan bangunan yang mengalami kerosakan struktur atau keretakan besar serta melaporkan sebarang kerosakan kepada pihak berkuasa.
Perkhidmatan Geologi Colombia (SGC) memaklumkan gempa berlaku pada 7.34 malam waktu tempatan, dengan pusat gempa dikesan berhampiran San José del Palmar, Choco pada kedalaman 96 kilometer.
Bagaimanapun, SGC mengesahkan tiada ancaman tsunami susulan kejadian berkenaan.
