
BANGKOK, 10 Ogos – Skuad sepak takraw negara mara ke perlawanan akhir acara berpasukan lelaki Piala Raja Thai selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir di Fashion Island Mall, hari ini.
Malaysia membuka tirai kemenangan menerusi regu pertama yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim selaku tekong, bersama Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Kamarul Ezzad Kamarul Imran, yang menundukkan Indonesia 15-13, 15-9.
Regu kedua negara yang menampilkan Muhammad Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari kemudian memastikan kemenangan 2-0 selepas mencatat keputusan 15-10, 15-8.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia tidak perlu menurunkan regu ketiga sekali gus menamatkan cabaran Indonesia di peringkat separuh akhir.
Kemaraan itu membuka peluang skuad negara memburu kejuaraan pada edisi ke-39 kejohanan berkenaan, namun Malaysia perlu berdepan cabaran getir apabila menentang tuan rumah Thailand pada aksi final yang dijadualkan esok.
Malaysia sebelum ini menewaskan Vietnam 2-1 pada aksi suku akhir untuk mara ke separuh akhir.
