

THE HAGUE, 19 Ogos – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengecam sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap pegawai kanannya, sambil menegaskan tindakan berkenaan boleh mengancam kedaulatan undang-undang serta sistem perundangan antarabangsa.
Dalam kenyataan pada Selasa, ICC berkata tindakan menyasarkan hakim, pendakwa raya dan kakitangannya yang menjalankan mandat daripada negara anggota merupakan ancaman terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.
ICC menegaskan sekatan tersebut tidak akan menghalang mahkamah berkenaan daripada melaksanakan mandatnya, selain akan terus mempertahankan kakitangan serta memperjuangkan keadilan untuk mangsa kekejaman.
Reaksi itu susulan keputusan Washington mengenakan sekatan terhadap Presiden ICC, Tomoko Akane dari Jepun, serta pendakwa raya kanan ICC dari Senegal, Abdoulaye Seye.
AS sebelum ini turut mengenakan sekatan terhadap beberapa pegawai ICC, termasuk larangan memasuki negara itu serta sekatan terhadap transaksi menerusi sistem kewangan AS.
Tindakan Washington tersebut sebahagian besarnya dikaitkan dengan siasatan ICC yang melibatkan Israel, sekutu rapat AS.
Pada 2024, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkaitan dakwaan jenayah dalam konflik Gaza.
