
SERDANG, 18 Ogos – Atlet Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee melengkapkan hatrik emas acara pecut pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas memenangi acara 200 meter (m) lelaki dengan catatan masa 20.85 saat (s), sekali gus mencipta rekod baharu temasya.
Atlet berusia 19 tahun itu yang sebelum ini meraih emas dalam acara 100m dan 4x100m, memadam rekod 21.01s milik atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmin yang dicatatkan pada edisi 2018 di Perak.
Pingat perak menjadi milik wakil Kedah, Muhammad Umaira Subri dengan catatan 21.23s, manakala seorang lagi atlet Johor, Muhamad Airiel Iskandar Rusli meraih gangsa menerusi catatan 21.35s.
Danish menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil daripada keupayaannya mengharungi tiga acara sepanjang temasya, termasuk 100m, 4x100m dan 200m.
“Selepas semua perlumbaan dari hari pertama SUKMA sehingga hari ini, Alhamdulillah, hanya itu yang mampu saya katakan kerana berjaya mengharungi semua acara, iaitu 100m, 4x100m dan 200m,” katanya selepas perlumbaan.
Pemegang rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73s itu bagaimanapun mengakui masih mempunyai ruang untuk memperbaiki prestasi, termasuk menyasarkan untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya.
“Saya percaya saya mampu memperbaiki catatan terbaik peribadi saya yang juga merupakan rekod kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, acara 200m wanita menyaksikan wakil Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira muncul juara dengan catatan 24.42s untuk mengesahkan status sebagai ratu pecut SUKMA.
Lim Mei Yin dari Selangor meraih perak dengan catatan 24.86s, manakala gangsa menjadi milik seorang lagi wakil Terengganu, Nor Aliya Najihah Muda dengan catatan 25.39s.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaan Izzatul Musfirah selepas sekadar meraih pingat perak dalam acara 4x100m wanita sehari sebelum ini.
