Perancis usir dua diplomat Iran susulan pertikaian diplomatik

PARIS, 19 Ogos – Perancis akan mengusir dua diplomat Iran yang ditempatkan di negara itu sebagai tindak balas terhadap keputusan Tehran menghalang dua diplomat Perancis daripada kembali ke Iran.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata, tindakan berkenaan akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang susulan layanan yang disifatkannya sebagai “tidak boleh diterima” terhadap dua diplomat Perancis yang sebelum ini ditahan dan disoal siasat di Tehran.

Menurut Barrot, kedua-dua diplomat Perancis itu berdepan tuduhan melakukan campur tangan dalam urusan dalaman Iran.

Kementerian Luar Iran pada Isnin memaklumkan bahawa dua diplomat Perancis berkenaan tidak lagi dibenarkan kembali ke Iran.

Pada 20 Julai lalu, Barrot berkata kedua-dua diplomat itu, termasuk seorang pegawai atase kebudayaan, telah ditahan dan disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai Iran.

Beliau mendakwa tindakan tersebut melanggar kekebalan diplomatik serta menyifatkannya sebagai intimidasi serius oleh pasukan keselamatan Iran.

Bagaimanapun, Iran menafikan berlaku layanan buruk terhadap diplomat Perancis berkenaan dan menegaskan mereka hanya disoal siasat dalam tempoh singkat kerana didakwa menjalinkan hubungan dengan masyarakat sivil, yang disifatkan sebagai campur tangan dalam urusan dalaman negara itu.

Perkembangan terbaharu tersebut mencetuskan tindakan balas diplomatik antara Paris dan Tehran.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *