
SHAH ALAM, 19 Ogos – Polis Selangor membongkar kegiatan enam sindiket pengedaran dadah menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan KLIA, Sepang, dengan rampasan lebih 600 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM37.5 juta.
Operasi yang dijalankan antara 4 hingga 17 Ogos itu membawa kepada penahanan 12 individu, terdiri daripada tiga warga tempatan dan sembilan warga asing berusia antara 22 hingga 54 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rampasan melibatkan 408.63kg syabu, 96.15kg bunga ganja, 87.98kg heroin base dan 7.72kg kokain.
Menurut beliau, antara modus operandi sindiket adalah menjadikan kediaman di Ampang dan bagasi di KLIA sebagai ‘depot bergerak’ bagi menyimpan serta mengedar dadah.
Kes terbesar pada 17 Ogos di Ampang menyaksikan polis merampas 252.7kg syabu dan 88kg heroin base bernilai RM19.7 juta serta menahan dua warga tempatan.
Sementara itu, beberapa serbuan di KLIA pada 10 dan 15 Ogos membawa kepada rampasan ganja dan kokain yang diseludup menggunakan bagasi.
Kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis berkata keseluruhan rampasan itu dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga dua juta individu, sekali gus membuktikan kegiatan sindiket pengedaran dadah berskala besar masih aktif dan terancang.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya bagi mengelakkan terjebak sebagai ‘keldai dadah’.
