Sejumlah RM5.16 juta wang hasil penipuan berjaya dipulangkan semula kepada mangsa

2 September 2026

BANGI – Tindakan pantas agensi penguatkuasaan membuahkan hasil apabila sebanyak RM5.16 juta, iaitu 65 peratus daripada keseluruhan wang sitaan berjumlah RM7.94 juta, berjaya dipulangkan semula kepada mangsa sindiket penipuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 itu adalah bukti penguatkuasaan yang impaknya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

Bercakap pada Persidangan Kebingkasan Siber Antarabangsa ke-6 (CRC 2026), beliau menegaskan bahawa kejayaan ini perlu diiringi dengan kesiapsiagaan infrastruktur berikutan sindiket penipuan antarabangsa di Asia Tenggara kini menjana puluhan bilion dolar setiap tahun.

LANGKAH PROATIF DAN STRATEGIK

Sebagai langkah proaktif dan strategik, kerajaan kini giat mengkaji penubuhan Cyber Crime Fusion Centre (CCFC). Kajian tersebut kini memasuki fasa kedua yang memfokuskan kepada pembangunan Model Governan dan Model Operasi menerusi kerjasama Institut Keselamatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Akademia Keselamatan Siber Malaysia.
Penubuhan pusat ini dilihat kritikal berikutan peningkatan ketara pelbagai jenayah siber, termasuk kes eksploitasi seksual kanak-kanak yang merekodkan 100 kes setakat pertengahan 2026, serta penipuan tawaran pekerjaan membabitkan 746 mangsa setakat Ogos lalu.
Bertemakan “Mengemudi Cabaran dan Peluang dalam Kebingkasan Siber Global”, CRC 2026 yang berlangsung secara hibrid turut menekan keperluan agensi penguatkuasaan untuk segera beradaptasi dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menyaingi sindiket jenayah siber yang semakin maju.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *