PM Anwar hubungi Jokowi, Zahir Solidariti Bencana Alam Dan Ucap Selamat Datang ke Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menghubungi bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri program Penang Peace Dialogue.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial rasminya, Perdana Menteri menyampaikan permohonan maaf kerana tidak dapat menyantuni Jokowi secara peribadi di utara tanah air berikutan pertindihan jadual rasmi.

Beliau menjelaskan bahawa beliau perlu menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 untuk menyantuni golongan petani, penternak, peladang, dan komuniti agro seperti yang telah dijadualkan lebih awal.

“Kami bertukar khabar dalam suasana penuh mesra. Selain itu, saya turut menzahirkan solidariti kepada saudara-saudara kita di Indonesia susulan bencana gunung berapi serta cabaran jerebu yang sedang dihadapi ketika ini,” kata beliau.

Menyentuh mengenai keakraban kedua-dua negara, Anwar menegaskan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia menjangkaui status sebagai negara jiran.

BANGSA SERUMPUN

Menurutnya, kedua-dua negara adalah bangsa serumpun yang diikat kuat oleh lipatan sejarah, budaya, dan semangat persaudaraan.

“Amanah dan kedudukan boleh silih berganti, namun persahabatan dan rasa hormat akan terus kekal. Insya-Allah, ikatan ini akan terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta keamanan dan kemakmuran rantau,” tambahnya lagi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *