



PERAK: Enam pendaki yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Hutan Simpan Kekal Lojing, Kelantan, hanya menyedari bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan selepas terdengar bunyi helikopter ketika berada di Kem Kulim.
Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, berkata beliau bersama isteri, dua anak serta dua malim gunung berada dalam keadaan baik sepanjang berada di dalam hutan, namun mula bimbang sekiranya kelewatan mereka menyebabkan keluarga membuat laporan polis.
Menurutnya, telahan itu ternyata benar apabila mereka terdengar bunyi helikopter ketika berada di Kem Kulim menuju ke pintu rimba, selain terserempak dengan malim dari Kelantan.
Selepas itu, kumpulan berkenaan terus berusaha mendapatkan isyarat telefon bagi menghubungi keluarga dan memaklumkan keadaan mereka.
Wan Ahmad Aslam bersama isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, anak mereka Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, akhirnya selamat keluar melalui Pos Kemar menggunakan Jeti Trojan, Tasik Banding selepas ditemui pasukan penyelamat malam tadi.
Beliau berkata keadaan muka bumi yang mencabar serta semak samun tebal di laluan antara Gunung Beratoh hingga Gunung Sepat menyebabkan pergerakan kumpulan itu menjadi perlahan.
Keadaan tersebut memaksa mereka membuat setiap keputusan dengan lebih berhati-hati sepanjang perjalanan bagi memastikan keselamatan semua anggota kumpulan.
