
8 September 2026
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur berikutan ekonomi negara mencatat pertumbuhan 6 peratus pada suku tahun kedua, melangkaui semua unjuran awal.
Alhamdulillah, katanya melalui catatan di Facebook selepas bertemu warga Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam perhimpunan bulanan dan untuk bertemu para pekebun kecil, selain mendengar sendiri pandangan, keluhan dan permasalahan yang mereka hadapi.
Kata beliau, sektor perladangan dan komoditi turut menyumbang kepada kekuatan itu, termasuk para pekebun kecil yang secara keseluruhannya memberikan sumbangan besar kepada ekonomi serta hasil negara.
Justeru, jelas Perdana Menteri, suara mereka mesti didengar dan nasib mereka harus terus dibela.
“Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah soal pendapatan, peningkatan mutu dan hasil pengeluaran, kemudahan jalan ladang serta keadaan perumahan pekebun kecil,” tambahnya lagi.
Usai perhimpunan, tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad serta pimpinan kementerian mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil pekebun kecil serta pengusaha sektor getah, sawit, koko, lada, kenaf dan perkayuan.
“Dalam sesi khas ini, saya mendengar secara langsung dan tanpa tapisan isu yang mereka hadapi di lapangan.
“Antara yang dibangkitkan termasuklah keperluan meningkatkan kelayakan diesel bagi pekebun kecil, akses yang lebih mudah kepada peruntukan jalan ladang, sumber air alternatif, cadangan memperkukuh perwakilan suara pekebun kecil di Parlimen, serta pertindihan fungsi antara LGM dengan RISDA.
” Saya hargai setiap pandangan yang dikemukakan. Beberapa perkara akan segera dibincangkan dalam mesyuarat jemaah Kabinet esok, serta dalam pertemuan saya dengan Menteri Besar serta Ketua Menteri bulan depan,” katanya.
Menurut Anwar, mungkin tidak semua pandangan mereka dapat dilaksanakan segera kerana kekangan semasa, namun Kerajaan MADANI akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian mengikut kemampuan.
“Insya-Allah, sebarang keputusan akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 nanti,” ujar beliau.
