
KUALA LUMPUR, 10 September – Pelikuidasi empat syarikat yang dikaitkan dengan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan, memfailkan tuntutan ganti rugi melebihi S$1 bilion terhadap DBS Bank di Mahkamah Tinggi Singapura.
Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB memaklumkan tuntutan itu berkaitan lima akaun yang dibuka di DBS pada 2013. Dokumen pembukaan akaun menamakan Tan Kim Loong atau Eric Tan sebagai pemilik benefisial tunggal.
Menurut pasukan petugas, lebih US$1 bilion dana yang diseleweng daripada 1MDB dan SRC International disalurkan melalui empat syarikat berkenaan antara 2013 hingga 2014.
Dana tersebut kemudiannya dipindahkan antara syarikat dan digunakan untuk pelbagai pembayaran, termasuk pembelian barangan kemas, perkhidmatan jet peribadi, kelab malam serta kapal layar mewah.
Pasukan petugas menyambut baik tindakan pelikuidasi berkenaan dan menegaskan sebarang dana yang berjaya dipulihkan akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.
