PMX: HUBUNGAN MALAYSIA-MALDIVES AKAN TERUS MEKAR SEBAGAI PERSAHABATAN DUA NEGARA BERJIWA BESAR

MALÉ, 15 September 2026 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia dan Maldives, meskipun merupakan negara yang secara relatifnya kecil, tidak seharusnya berasa gentar atau rendah diri dalam menghadapi cabaran dunia.

Berucap pada Jamuan Negara yang dihoskan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, sebagai acara terakhir dalam rangka lawatan rasmi beliau ke negara itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Presiden Muizzu, Kerajaan serta rakyat Maldives atas persahabatan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang kunjungan berkenaan.

MENOLAK KEANGKUHAN

Menurut beliau, dunia hari ini memerlukan negara-negara kecil yang mempunyai keberanian untuk mempertahankan kebenaran, menjunjung tadbir urus yang baik serta menolak keangkuhan kuasa yang menindas negara lain.

Anwar turut menyatakan dukungan Malaysia terhadap perjuangan Maldives dalam menghadapi kesan perubahan iklim.

Beliau berkata Maldives merupakan antara negara yang berdepan kesan perubahan iklim walaupun sumbangannya terhadap pelepasan karbon adalah kecil, justeru komitmen antarabangsa berkaitan perubahan iklim perlu dilaksanakan secara berkesan.

SEDIA BERKONGSI

Atas semangat persahabatan dua hala, Anwar berkata Malaysia bersedia berkongsi keupayaan dalam bidang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.

Antara bidang yang diberi perhatian termasuk kemudahan pertukaran mata wang, mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives, pendidikan, kesihatan mental serta pemerkasaan orang kurang upaya.

Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa kemajuan dalam kerangka Malaysia MADANI perlu disertai ihsan dan kepedulian terhadap manusia.

Katanya, Malaysia mahu meneroka peluang baharu menerusi teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), namun pada masa sama kekal berteraskan iman, nilai moral dan etika bagi memastikan kemajuan terus mengangkat maruah manusia.

Anwar menyifatkan lawatan rasmi tersebut sebagai singkat dari segi tempoh, namun menghasilkan perbincangan dan muafakat yang panjang serta bermakna.

Beliau berharap hubungan Malaysia-Maldives akan terus berkembang sebagai persahabatan antara dua negara yang berkongsi aspirasi untuk memperkukuh kerjasama dan memberi manfaat kepada rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *