
NAGOYA, 19 September – Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dibuka secara rasmi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, menandakan kembalinya Jepun sebagai tuan rumah temasya itu selepas 32 tahun.
Bertemakan “Imagine One Asia”, upacara pembukaan menampilkan persembahan artistik, cahaya dan elemen budaya serta teknologi Jepun, selain perbarisan kontinjen 45 negara.
Malaysia, yang menyertai Sukan Asia buat kali ke-19 berturut-turut, tampil sebagai kontinjen ke-22 diketuai Chef de Mission, Datuk Mohd Sumali Reduan. Jalur Gemilang dibawa atlet wushu Tan Cheong Min dan pelari pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
Kontinjen negara disertai 352 atlet dan 185 pegawai yang akan bertanding dalam 30 jenis sukan, dengan sasaran enam pingat emas.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berlangsung sehingga 4 Oktober, membabitkan 469 acara pingat dalam 43 jenis sukan.
