
JOHOR BAHRU, 21 September 2026 — Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor meneruskan operasi pemindahan tahanan secara berterusan bagi memastikan tahanan yang telah selesai menjalani hukuman tidak terus berada di negara ini.
Pada minggu ketiga September 2026, Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas (DIPN) melaksanakan pemindahan seramai 110 orang tahanan ke negara asal masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, seramai 70 orang merupakan warganegara Indonesia, diikuti 31 warganegara Bangladesh, empat warganegara Filipina, dua warganegara Pakistan serta masing-masing seorang warganegara China, Vietnam dan Afghanistan.
Kesemua tahanan berkenaan dihantar pulang melalui beberapa pintu keluar utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, Terminal Feri Pasir Gudang serta Terminal Feri Stulang Laut.
PEMBIAYAAN TIKET PENGHANTARAN PULANG
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, kos tiket penghantaran pulang ditanggung melalui simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga dan bagi kes tertentu, tiket penerbangan ditanggung oleh kedutaan negara berkenaan.
Kesemua tahanan yang dihantar pulang turut disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak dibenarkan memasuki semula Malaysia atas apa jua tujuan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, segala urusan penghantaran pulang termasuk pembelian tiket boleh dilakukan di Kaunter Perkhidmatan Depot Imigresen Pekan Nenas, tanpa dikenakan sebarang caj perkhidmatan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Unit Rekod dan Pemindahan DIPN di talian 07-699 3540 atau melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia.
