

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan masjid baharu di Pulau Aur yang kini telah siap sepenuhnya untuk mendirikan solat Jumaat pertama.
Pembinaan semula masjid berkenaan dilaksanakan berikutan struktur bangunan lama yang telah uzur kerana faktor usia, selain mengalami masalah kebocoran pada bahagian bumbung.
Kedudukan Pulau Aur yang terpencil turut menyukarkan usaha penduduk tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih masjid berkenaan.
Sehubungan itu, TETO Engineering Sdn Bhd telah mewakafkan pembinaan semula masjid baharu tersebut demi menyediakan tempat ibadah yang lebih selesa dan sempurna untuk kegunaan penduduk Pulau Aur serta kawasan sekitarnya.
Masjid baharu yang mampu menampung hampir 200 jemaah itu turut berkenan dinamakan sebagai Masjid Zuhri oleh Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Johor.
Hadir sama, Dato’ Mohd Radzi Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Dato’ Mohd Zuhri Abdullah, Pengerusi TETO Engineering Sdn Bhd.
Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama Islam di Johor oleh Dato’ Yahya.
Sesi mengadap bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (22 September).
