RAJA PERMAISURI AGONG PRIHATIN KESIHATAN MURID DAN PELAJAR SEKOLAH KETIKA JEREBU

16 Oktober 2026

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan dan kesejahteraan murid dan pelajar sekolah susulan keadaan jerebu yang mengakibatkan kemerosotan kualiti udara.

Seri Paduka Baginda mengambil berat akan kesan pencemaran udara terhadap kesihatan kanak-kanak, khususnya murid dan pelajar sekolah yang lebih terdedah kepada risiko gangguan kesihatan memandangkan sistem pernafasan mereka masih dalam peringkat perkembangan.

Raja Permaisuri Agong, bertitah pemakaian pelitup muka antaranya jenis N95 penting membantu mengurangkan pendedahan kepada zarah pencemaran udara ketika keadaan jerebu melanda.

“Berikutan kualiti udara tercemar akibat jerebu, saya amat bimbang kesan kesihatan jangka panjang khususnya melibatkan para murid dan pelajar.

“Apa yang amat dibimbangi ialah pendedahan secara kerap kepada udara tercemar boleh memberi kesan buruk jangka panjang bukan sahaja kepada paru-paru tetapi juga kepada kepada fungsi otak dan pemikiran,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menerima mengadap YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan di Istana Negara, pada hari ini (16 Oktober).

Hadir sama, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan; Dr Rusmini Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum); Dato’ Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) dan Dato’ Amzan Abd Malek, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme). �
Pada sesi mengadap selama hampir dua jam, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan menzahirkan pelbagai pandangan serta pendapat mengenai isu berkenaan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *