MALAYSIA PANTAU DEMONSTRASI DI PERANCIS, NASIHAT RAKYAT MALAYSIA AGAR BERWASPADA

18 Oktober 2026

Kementerian Luar Negeri sedang memantau rapat demonstrasi yang berlangsung di bandar-bandar utama di seluruh Perancis. Pada peringkat ini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terlibat atau terjejas akibat situasi tersebut.

Kedutaan Besar Malaysia di Paris telah mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia di Perancis supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Walaupun tiada sekatan perjalanan ke Perancis, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting sehingga keadaan bertambah baik.

Kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudah cara bantuan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia sekiranya diperlukan.

Kementerian menggesa rakyat Malaysia yang menetap di Perancis supaya memastikan Kedutaan Besar Malaysia di Paris mempunyai maklumat perhubungan terkini mereka.

Mereka yang masih belum berdaftar dengan Kedutaan digalakkan untuk berbuat demikian melalui platform e-Konsular Kementerian di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

Rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Perancis juga digalakkan untuk mendaftarkan butiran perjalanan mereka melalui e-Konsular serta memantau perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Kedutaan dan pihak berkuasa Perancis yang berkaitan.

Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan melalui saluran berikut:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI PARIS

  • Telefon: +33 1 45 53 11 85
  • Talian Kecemasan (Selepas Waktu Pejabat): +33 6 32 44 65 71
  • E-mel: par.consular@kln.gov.my

Kementerian akan terus memantau perkembangan dengan rapat dan memberikan maklumat lanjut sekiranya perlu.

PUTRAJAYA 18 Oktober 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *