


Putrajaya, 22 Oktober – Aspek keselamatan perlindungan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya tertumpu kepada kawalan fizikal semata-mata, sebaliknya merangkumi kesejahteraan mental pegawai, keselamatan siber serta kawalan ketat terhadap kerahsiaan maklumat jabatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tugas penguatkuasaan rasuah diiktiraf sebagai pekerjaan berimpak tinggi yang mendedahkan warga kerja kepada tekanan mental, bebanan tugas yang berat, serta ancaman psikologi luar jangka.
Justeru, budaya kerja yang selamat daripada sudut psikologi amat penting bagi memastikan pegawai tidak berasa bimbang atau takut untuk mendapatkan bantuan serta melaporkan isu kesihatan mental lebih awal sebelum menjadi parah.
βDalam pada itu, pematuhan terhadap Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) serta Buku Arahan Keselamatan perlu terus diberikan penekanan serius. Langkah ini penting bagi membendung sebarang risiko kebocoran maklumat yang boleh menggugat integriti, kerahsiaan, serta kredibiliti terhadap agensi penguatkuasaan ini,β katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan (JKP) SPRM Bilangan 3 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Utama di sini, semalam.
Beliau berkata, langkah bersepadu ini diharap dapat memastikan aspek keselamatan perlindungan terus kekal utuh sebagai benteng pertahanan dalam memelihara integriti, keselamatan warga kerja SPRM secara keseluruhan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Hishammudin Mohammed Esa berkata, mesyuarat JKP ini menjadi platform dan saluran utama untuk membincangkan isu-isu keselamatan yang dikenal pasti menerusi hasil inspektorat keselamatan perlindungan secara kendiri.
Beliau berkata, ini bagi memastikan kelemahan isu-isu keselamatan dapat dikenalpasti dan memastikan isu yang sama tidak akan berulang
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Pegawai Keselamatan Jabatan (PKJ) SPRM Negeri dan Penolong Pegawai Keselamatan Jabatan (PPKJ) SPRM Bahagian.
