
BERTINDAK SEBELUM TERLAMBAT:
PERANAN ONSA DAN 10 CARA MENGELAK DARIPADA DITIPU MELALUI LOVE SCAM
23 Oktober 2026
TINDAKAN PANTAS ONSA MEMADAM AKAUN PALSU BOLEH MEMBANTU MENCEGAH LOVE SCAM
Melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), persekitaran digital di Malaysia diperkukuh dengan meletakkan tanggungjawab perundangan (Duty of Care) secara langsung pada penyedia platform media sosial seperti Meta, TikTok, Telegram dan aplikasi janji temu.
- Tindakan pantas memadam akaun palsu
ONSA mewajibkan penyedia platform mengesan dan menurunkan akaun penyamaran (impersonation), akaun bot atau profil palsu yang digunakan oleh sindiket love scam dengan segera selepas menerima laporan.
- Sekatan kandungan dan pautan berbahaya
Platform dikehendaki mengintegrasikan sistem keselamatan automatik bagi menyekat pautan pelaburan palsu serta saluran komunikasi yang berisiko tinggi.
- Pengesanan akaun keldai (mule accounts)
Pelaksanaan ini memudahkan kerjasama rentas agensi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak bank untuk mengesan dan menyekat aliran kewangan yang mencurigakan dengan lebih pantas.
- Liabiliti terhadap platform digital
Penyedia platform yang gagal mematuhi piawaian keselamatan atau membiarkan aktiviti penipuan berleluasa boleh dikenakan tindakan undang-undang dan penalti di bawah ONSA, tertakluk pada peruntukan yang berkenaan.
10 CARA MENGELAK DARIPADA DITIPU OLEH SCAMMER LOVE SCAM
- Semak akaun bank dan nombor telefon melalui Semak Mule
Sebelum melakukan sebarang pemindahan wang, semak akaun bank penerima atau nombor telefon yang mencurigakan melalui portal rasmi PDRM:
https://semakmule.rmp.gov.my
- Lakukan carian imej terbalik (reverse image search)
Muat naik gambar profil individu berkenaan ke Google Images atau Yandex untuk mengesan kemungkinan gambar tersebut dicuri. Scammer sering menggunakan gambar model, anggota tentera, juruterbang atau eksekutif dari luar negara.
- Minta panggilan video secara langsung
Minta individu berkenaan berinteraksi melalui panggilan video secara langsung.
Jika mereka kerap memberikan alasan yang meragukan, seperti masalah talian, peraturan tentera atau kem, atau berada di zon perang, keadaan itu mungkin petanda penipuan.
- Pegang prinsip: Jangan hantar wang kepada orang yang belum pernah ditemui
Tetapkan pendirian untuk tidak memindahkan wang kepada sesiapa yang belum pernah ditemui secara bersemuka, walaupun individu tersebut mendakwa mempunyai hubungan romantik dengan anda.
- Waspada terhadap cerita barangan tersangkut di kastam
Urusan pembayaran cukai atau pelepasan barangan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau agensi kerajaan perlu disahkan melalui saluran rasmi. Berwaspada jika diminta membuat bayaran ke akaun bank peribadi individu atas alasan pelepasan kastam.
- Berhati-hati dengan taktik love bombing
Berwaspada jika individu yang baru dikenali selama beberapa hari atau minggu memberikan perhatian secara berlebihan, meluahkan cinta secara melampau atau membuat janji manis untuk berkahwin.
- Kawal privasi profil media sosial
Elakkan mempamerkan maklumat kewangan, pendapatan, lokasi kediaman atau butiran kehidupan peribadi secara berlebihan sehingga boleh menjadikan anda sasaran sindiket penipuan.
- Jangan kongsi dokumen dan gambar intim
Jangan hantarkan salinan kad pengenalan, pasport, maklumat perbankan atau gambar dan video intim kepada individu yang belum dipercayai. Maklumat tersebut boleh disalahgunakan, termasuk untuk tujuan pemerasan seksual (sextortion).
- Dapatkan pandangan pihak ketiga, seperti rakan atau keluarga
Jika seseorang meminta anda memindahkan wang, bincangkan situasi tersebut dengan ahli keluarga atau rakan karib. Pandangan pihak ketiga boleh membantu anda menilai keadaan dengan lebih rasional tanpa dipengaruhi emosi.
- Simpan nombor kecemasan NSRC: 997
Jika anda menjadi mangsa penipuan dan telah memindahkan wang, segera hubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 untuk mendapatkan bantuan. Bertindak secepat mungkin bagi membantu usaha mengesan transaksi dan menyekat aliran wang.
