

25 OKTOBER 2026
Hasil tindakan penguatkuasaan dan siasatan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), seorang individu telah didenda oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada 22 Oktober 2026 selepas mengaku bersalah atas kesalahan membuat representasi mengelirukan berhubung barangan yang dibekalkan kepada pengguna.
Kes ini berpunca daripada aduan seorang pengguna yang menerima pakaian jenis jubah, sedangkan barangan yang diiklankan dan sepatutnya dibekalkan adalah baju kurung. Perbuatan tersebut merupakan suatu representasi mengelirukan berhubung barangan yang dibekalkan kepada pengguna.
Susulan kejadian pada 27 Februari 2024, siasatan telah dijalankan oleh KPDN sehingga membawa kepada tindakan pendakwaan terhadap individu berkenaan di mahkamah.
Sehubungan itu, tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1)(b), Akta yang sama. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000.00 terhadap tertuduh dan denda tersebut telah dijelaskan pada hari yang sama.
KPDN memandang serius sebarang bentuk representasi palsu atau mengelirukan dalam urus niaga, khususnya yang melibatkan pengiklanan dan pembekalan barangan yang tidak menepati keterangan sebagaimana ditawarkan kepada pengguna.
Kementerian turut mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mengamalkan urus niaga yang beretika, telus dan bertanggungjawab dengan memastikan setiap barangan yang dibekalkan adalah selaras dengan maklumat, keterangan serta pengiklanan yang dibuat.
KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang memperdaya pengguna dan akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi memastikan hak serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan berkaitan amalan perniagaan yang mengelirukan, pengiklanan palsu atau pembekalan barangan yang tidak menepati keterangan yang ditawarkan digalakkan untuk menyalurkan maklumat menerusi saluran rasmi KPDN seperti berikut:
- WhatsApp: 019-848 8000 / 019-279 4317
- Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my
- Call Centre: 1-800-886-800
- Aplikasi Telefon Pintar: Ez ADU KPDN
