
PUTRAJAYA, 27 Oktober – Kementerian Komunikasi memulakan persiapan awal sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara pada 2027 sebelum penyelarasan diperluas kepada semua kementerian menerusi pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan memastikan sambutan berkenaan dirancang secara menyeluruh dengan penglibatan jentera kerajaan dan masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di sini, Isnin.
Mengulas kejayaan sambutan tahun ini, Fahmi berkata lebih 100,000 pengunjung hadir secara fizikal, manakala acara berkenaan turut meraih jutaan tontonan dalam talian.
Penganjuran itu menerima tajaan RM51.5 juta, selain melibatkan lebih 10,800 peserta daripada 76 kontinjen dan 22 kumpulan pancaragam.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada perancangan lebih rapi bagi memastikan sambutan kemerdekaan ke-70 pada 2027 diraikan dengan lebih bermakna serta melibatkan seluruh rakyat Malaysia.
