
GENEVA, 27 Oktober – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa operasi ketenteraan Israel di Hebron, Tebing Barat yang diduduki, menimbulkan kebimbangan serius terhadap kemungkinan berlakunya pembersihan etnik rakyat Palestin.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, operasi itu menyebabkan 3,189 penduduk dipindahkan secara paksa, selain rumah dan premis perniagaan dirobohkan serta pergerakan penduduk disekat.
Operasi berkenaan menyusul serangan dua lelaki bersenjata Palestin yang membunuh dua anggota tentera Israel di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran Hebron, Jumaat lalu.
Turk menggesa Israel menghentikan penggunaan kekerasan tidak perlu dan tidak seimbang serta membenarkan penduduk yang dipindahkan pulang. Beliau turut menegaskan bahawa hukuman kolektif dan pengusiran yang menyalahi undang-undang melanggar undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengusiran rakyat Palestin dan peningkatan keganasan oleh peneroka Israel di Tebing Barat.
Beliau menegaskan keamanan berkekalan di Asia Barat memerlukan pengiktirafan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri. – AFP
