Peluncuran buku Bennabi, IIFS bukan hanya pencapaian akademik tetapi langkah penting perkukuh pemikiran kritis – PMX

Petikan FB Anwar Ibrahim

6 FEB. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan peluncuran buku ‘A Malik Bennabi Reader’ serta Institut Antarabangsa Kajian Masa Hadapan (IIFS) bukan hanya satu pencapaian akademik, tetapi juga satu langkah penting dalam memperkukuh pemikiran kritis dan penyegaran serta pembaharuan intelektual di Malaysia.

Jelas beliau, pemikiran Bennabi, yang menelusuri serta mendalami persoalan penjajahan, kebangkitan umat, dan budaya peradaban, terus relevan dalam usaha kita membina sebuah masyarakat yang bebas, bermaruah, dan berketerampilan.

“Bennabi memahami bahawa penjajahan bukan sekadar penindasan fizikal, tetapi juga suatu keadaan yang berpunca daripada kelemahan dalaman masyarakat yang dijajah,” kata Perdana Menteri dalam perkongsian di FB.

TIDAK HANYA TERLETAK

Oleh itu, jelas Perdana Menteri, Bennai menegaskan bahawa kebebasan sebenar tidak hanya terletak pada kemerdekaan politik, tetapi juga dalam transformasi jiwa dan pemikiran.

Seperti yang diungkapkan dalam karya beliau, colonisabilité—atau kecenderungan untuk dijajah—harus dibendung melalui pengukuhan ilmu, etika, dan semangat serta idealisme perjuangan.

Ini adalah pelajaran yang perlu kita garap dalam membina sebuah negara yang bukan sahaja maju secara material, tetapi juga kaya dengan nilai dan prinsip.

SEBAGAI ALAT PENINDASAN

Dalam konteks dunia hari ini, di mana teknologi dan sains berkembang pesat tetapi sering disalahguna sebagai alat penindasan, kita perlu mengambil iktibar daripada amaran Bennabi tentang jurang antara prinsip moral dan kemanusiaan.

Seperti yang kita saksikan di Palestin dan di banyak tempat lain, kuasa sering berselindung di sebalik retorik keamanan dan kemajuan, sedangkan hakikatnya ia memperkukuh ketidakadilan.

Oleh itu, masyarakat yang benar-benar bebas dan merdeka mesti punyai keberanian untuk menilai semula naratif yang dibentuk oleh kuasa-kuasa besar dan mempertahankan prinsip keadilan secara menyeluruh.

MERANGKA MASA DEPAN

Dengan penubuhan IIFS, kita mempunyai peluang untuk mewujud dan merangka masa depan yang lebih bermakna yakni yang berlandaskan ketajaman pemikiran, kefahaman sejarah yang mendalam, dan keberanian untuk mencabar status quo.

Institut ini bukan sekadar ruang akademik, tetapi juga medan untuk membentuk pemimpin, pemikir, dan pembuat dasar yang akan melonjak Malaysia ke arah sebuah peradaban yang lebih adil dan sejahtera.

Justeru, hari ini kita bukan sekadar meraikan peluncuran sebuah buku atau institusi baharu tetapi kita sedang menanam benih perubahan dan bertanggungjawab terhadap masa depan yang didambakan.

Dengan berpaksikan semangat yang madani dan inspirasi daripada pemikiran Bennabi, kita mesti bergerak ke hadapan dengan keyakinan bahawa dunia yang lebih adil dan bermaruah bukan utopia, tetapi sebuah kemungkinan yang boleh dijelmakan demi maslahat umat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *