100 kes kebakaran di Perlis dari Januari hingga 5 Februari 2025 trend membimbangkan

Oleh: Sholina Osman
Gambar Ihsan JBPM Perlis
6 FEB. 2025

Kes pembakaran terbuka di Perlis berjumlah 100 kes dari 1 Januari hingga 5 Febaruari 2025 disifatkan sebagai tinggi sekaligus menjadikan ia satu trend yang membimbangkan.

Pengarah Bomba Perlis, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, kes ini meningkat kerana tahap kesedaran mencegah kebakaran termasuk mengawal api masih rendah.

Beliau berkata, tambahan pula sekarang berlaku peralihan Monsun di mana cuaca panas dan kering akan berlarutan sehingga Mac depan ini akan mudah berlaku kebakaran.

PETANI MEMBAKAR JERAMI

“Ketika ini juga para petani membakar jerami sebelum memulakan penanaman padi baharu,” katanya pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis di Ibupejabat JBPM Perlis di Kangar.

Hadir sama Timbalan Pengarah, Na Khoom A/L Kiang, Timbalan Pengarah dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan, Norazwan Hashim.

Wan Mohd Hamizi berkata, pihaknya kini giat menyedarkan komuniti menerusi pelbagai program advokasi dan kempen.

“Tahun lepas kira-kira 50,000 pelbagai peringkat umur penduduk menyertai pelbagai program berkaitan penyelamatan kebakaran,” katanya.

PERTAMBAHAN AHLI KOMUNITI

Katanya, pada tahun ini pihaknya menyasarkan 20 hingga 30 peratus lagi pertambahan ahli komuniti yang terlibat dalam program yang dilaksanakan.

Beliau berkata, selain ilmu berkaitan mengawal kebakaran pihaknya juga akan menekankan penyelamatan di air.

Wan Mohd Hamizibberkata, ia akan membabitkan komuniti yang tinggal berhampiran laut seperti Kuala Perlis dan juga tasik seperti di Empangan Timah Tasoh.

Katanya, dengan ilmu penyelamatan ini membolehkan komuniti memberikan bantuan sebelum kehadiran pihak Bomba.

KETUA-KETUA KOMUNITI

Beliau berkata, pihaknya kini menjalin hubungan dengan ketua-ketua komuniti bagi membolehkan ilmu berkaitan pencegahan dan pengawalan kebakaran dapat disebarkan kepada masyarakat setempat.

Sempena dengan majlis ini juga diadakan pemakaian pangkat, penyampaian sijil ISO, geran untuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Bomba juga turut memberikan Sijil Penghargaan kepada empat agensi media atas sumbangan pada tahun 2024 termasuk Portal Jendela Madani yang diwakili Wartawan Sholina Osman. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *