





Oleh: Sholina Osman
7 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan program Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan yang melibatkan pengauditan sebanyak 1,856 buah badan lain termasuk Syarikat Kerajaan melalui satu platform digital yang terkini.
“Kita seharusnya boleh berbangga kerana Sistem e-SelfAudit yang menggunapakai kecerdasan buatan (AI) ini telah dibangunkan secara dalaman melalui Projek Pendigitalan Jabatan Audit Negara (JAN) tanpa implikasi kos tambahan,” kata Perdana Menteri menerusi perkongsian dalam FB.
Majlis peluncuran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) juga dihadiri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Perdana Menteri berkata, pengauditan ini bertujuan menangani isu tatakelola yang dikenal pasti dalam syarikat kerajaan termasuk kelemahan pemantauan terhadap laporan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelan strategik syarikat.
MENGURUS DAN MENYELIA
“Antara isu lain yang dikenal pasti ialah kegagalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) memainkan peranan dalam mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian berterusan di peringkat syarikat induk dan anak syarikat,” katanya.
Dalam ucapan, Perdana Menteri juga menyentuh bahawa ada masanya, tidak semua isu pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi, dapat diselesaikan secara keseluruhan, justeru, kita perlu mengangkat nilai-nilai murni dan menghakis sikap budaya malas dalam membentuk jati diri yang lebih baik.
Memetik kata-kata penyair popular TS Eliot yang mengingatkan kita bahawa “between the idea and the reality lies the shadow”, beliau percaya semua pihak boleh menerapkan anjakan diri ke tahap lebih baik, berilmu dan bertanggungjawab dalam kehidupan masing-masing, khususnya membawa negara ke tahap lebih hebat lagi di masa hadapan. – JM
