







Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan FB JIM
8 FEB. 2025
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu beberapa premis di sekitar Klang, Selangor dan Brickfields, Kuala Lumpur pada 6 Februari 2025 kerana disyaki melakukan perniagaan pengiriman wang haram.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Operasi Khas ini bermula pukul 3.45 petang telah melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan pegawai dari BNM serta dibantu oleh pegawai dari CyberSecurity Malaysia.
“Hasil pemeriksaan terhadap semua premis tersebut, pasukan operasi telah merampas wang tunai berjumlah RM3,627,643.00, mata wang asing berjumlah Euro 1,400.00, Yuan 10,000 dan barangan perhiasan yang dipercayai emas yang disyaki hasil aktiviti pengiriman wang haram,” katanya dalam kenyataan media.
WARGANEGARA INDIA DITAHAN
Beliau berkata, dua lelaki warganegara India ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Manakala tiga lelaki warganegara India dan dua perempuan warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara tiga lagi lelaki warganegara India ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
WARGANEGARA ASING INI
Beliau memberitahu, warganegara asing ini juga akan disiasat oleh pihak BNM kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.4(1) Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 dan Sek.4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. – JM
