





Oleh: Sholina Osman
11 FEB. 2025
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah mengiringi isteri Presiden Turkiye, Emine Erdogan melawat Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur dan menaiki cruise Tasik Putrajaya.
Menerusi pekongsian di FB, Dr Wan Azizah berkata, Emine juga berkesempatan mengunjungi reruai pameran Pengurusan Sisa Sifar Kuala Lumpur, Renergy Bumi Hijau, serta Malaysia Green Technology and Climate Change (MGTC).
Sebagai simbol penghijauan bandar, Emine turut menanam pokok Merbau (Intsia palembanica, Leguminosae).
HUBUNGAN KERJASAMA ERAT
“Semoga hubungan kerjasama erat antara Malaysia dan Turkiye terus diperkukuh demi manfaat kedua-dua negara,” kata Dr Wan Azizah.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan isteri Menteri Pertahanan Datin Seri Rosni Omar.
Selepas itu, Emine dibawa menaiki Cruise Tasik Putrajaya, mengelilingi tasik sambil mengagumi keindahan landskap serta seni bina ikonik yang tersergam indah dari atas bot.
SEJAM BERAMAH MESRA
Emine meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan Dr Wan Azizah sambil menikmati pelbagai hidangan tempatan di atas bot pelayaran bernama Sebanau, selain menyaksikan pemandangan indah Putrajaya.
Turut serta dalam pelayaran itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dan isteri Menteri Pertahanan Datin Seri Rosni Omar.
Sebelum pelayaran bermula, beliau berkesempatan mencanting batik Malaysia dengan motif bunga raya, melambangkan warisan seni dan budaya negara.
MENGUNJUNGI BEBERAPA KEDAI
Emine juga meluangkan masa mengunjungi beberapa kedai kraftangan berdekatan kawasan pelepasan Cruise Tasik Putrajaya sebelum mengakhiri lawatannya
Lawatan ini mencerminkan komitmen bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye dalam pelbagai bidang, termasuk pemeliharaan alam sekitar dan budaya. – JM
