Indeks Persepsi Rasuah 2024: Malaysia kekal tangga ke-57 secara global

Oleh: Sholina Osman
13 FEB. 2025

Malaysia mengekalkan skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 secara global berdasarkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index, CPI) bagi tahun 2024.

Kenyataan media Pejabat Ketua Setiausaha Negara memaklumkan keputusan ini diumumkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M).

Sehubungan itu, Kerajaan akan terus komited untuk memperhebatkan usaha dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

TELAH MULA BERSIDANG

Bagi tujuan ini, Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan telah mula bersidang sejak Oktober 2024, akan terus meningkatkan langkah-langkah penambahbaikan yang strategik.

“Pasukan ini dianggotai oleh pegawai kanan pelbagai kementerian, pakar berkaitan, serta Transparency International Malaysia, dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai urus setia,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, enam Kumpulan Fokus CPI yang ditubuhkan di bawah Pasukan Petugas Khas ini akan meneliti dengan lebih mendalam dapatan daripada tinjauan yang digunakan dalam penilaian CPI.

AKAN MENJADI ASAS

“Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada perancangan serta pelaksanaan tindakan yang lebih berkesan dalam memperbaiki kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Kerajaan akan terus berusaha secara bersepadu untuk meningkatkan persepsi global terhadap kecekapan dan ketelusan sistem tadbir urus negara.

Keputusan CPI 2024 ini dijadikan titik rujukan (baseline) dalam merealisasikan sasaran Malaysia untuk mencapai kedudukan 25 teratas dunia dalam CPI menjelang tahun 2033. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *