8 individu disiasat muat naik kandungan palsu, jelik persenda Agong – MCMC

Oleh: Sholina Osman
15 FEB. 2025

Lapan individu dari seluruh negara disiasat kerana dipercayai memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik yang mempersenda Institusi Raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memaklumkan telah merakamkan keterangan individu-individu terlibat melalui lapan operasi pemeriksaan di enam buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang, kelmarin.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, pasukan penyiasat MCMC membuka kertas siasatan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” kata kenyataan itu.

Melalui operasi yang dijalankan, lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.

UNTUK MENDAPATKAN KETERANGAN

Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes.

Siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] (sebelum pindaan) ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet.

Jangan sesekali menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi
dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu dan kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *