



Oleh: Sholina Osman
27 FEB. 2025
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga kini sekitar 5,000 warga Indonesia yang berada dalam tahanan di Malaysia termasuk banduan yang disabit kesalahan dan tahanan reman.
Saifuddin berkata demikian menerusi hantaran di FB setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigresen, dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra.
Saifuddin kini rangka lawatan kerja rasmi di Indonesia.
“Kami berbincang mengenai usaha mewujudkan mekanisme yang lebih efektif bagi memulangkan tahanan ke negara asal untuk menjalani baki hukuman mereka, meskipun Perjanjian Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) masih belum dimeterai,” katanya.
USAHA MEMPERCEPAT RATIFIKASI
Turut disentuh juga katanya, adalah usaha mempercepatkan ratifikasi Perjanjian Lintasan Sempadan serta pembangunan sembilan pintu masuk baharu di Sabah dan Sarawak.
“Komitmen kami jelas iaitu memastikan pengurusan tahanan dan sempadan yang lebih cekap demi kepentingan bersama kedua-dua negara,” katanya.
Beliau menjelaskan perbincangan mengenai tiga perkara utama iaitu pemindahan banduan, isu keimigresenan dan pengurusan kawalan sempadan dengan menteri berkenaan. – JM
