



1 MAC 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
telah berjaya menganjurkan sesi 5G Broadcast Test-Bed dari 20 Januari hingga 14 Februari 2025.
Mengikut hantaran di FB MCMC, ia melibatkan pakar-pakar industri dari pelbagai bidang.
“Sesi ini bertujuan untuk meneroka potensi teknologi 5G Broadcast dalam merevolusikan industri penyiaran di Malaysia,” katanya.
Sepanjang sesi ini, pihak industri telah berganding bahu bersama Rohde & Schwarz bagi mensimulasikan dan mengesahkan kes penggunaan dalam pelbagai senario.
MEMASTIKAN PENGALAMAN TONTONAN
Teknologi ini dijangka dapat memastikan pengalaman tontonan dan pendengaran yang berkualiti tinggi tanpa gangguan, serta tanpa memerlukan SIM kad atau data.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada tiga Kumpulan Kes Penggunaan (Use Case Groups) utama, iaitu Perkhidmatan Penyiaran (Broadcasting Service), Amaran Kecemasan & Pengumuman Perkhidmatan Awam (Emergency Warning Alert & Public Service Announcement), serta Penyiaran Terus di Lokasi Sukan & Acara (Sports & Event Venue Casting).
Teknologi ini masih di dalam proses penilaian bagi meneliti keupayaan teknikal, daya saing komersial, serta potensi jangka panjang dalam industri penyiaran.
Dengan setiap langkah ke hadapan, MCMC terus komited untuk memacu inovasi serta membentuk ekosistem penyiaran yang lebih maju di masa hadapan. – JM
