



Oleh: Sholina Osman
4 MAC 2025
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli membentangkan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (RUU CCUS) 2025 dengan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi juga akan melakukan Bacaan Kedua dan Bacaan Ketiga RUU CCUS yang dijangka akan diadakan pada 5 Mac 2025.
“Penggubalan RUU CCUS ini
adalah langkah penting bagi Malaysia mempercepat usaha mitigasi
perubahan iklim berasaskan teknologi ke arah mencapai aspirasi sifar
bersih pada tahun 2050,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, ini selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris, Malaysia
telah melaksanakan pelbagai usaha mitigasi perubahan iklim,
termasuklah melalui pelaksanaan nature-based solutions.
ASPIRASI SIFAR BERSIH
Namun demikian katanya, Malaysia perlu mempercepat tindakan untuk mencapai aspirasi sifar bersih pada tahun 2050.
Beliau berkata, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang diluncurkan pada tahun 2023, CCUS
telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada pemacu peralihan tenaga.
“Aktiviti CCUS turut diiktiraf sebagai strategi baharu pertumbuhan
ekonomi bagi menyokong pertumbuhan hijau dan rendah karbon,” katanya.
Dalam konteks global Rafizi menjelaskan Persidangan Ke-28 Negara Ahli (COP28) kepada
Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNFCCC) telah mengiktiraf keperluan untuk mempercepat
pelaksanaan teknologi sifar dan pelepasan rendah termasuk teknologi
penyingkiran gas rumah kaca (GHG) seperti CCUS, terutamanya dari
sektor hard-to-abate.
TEKNOLOGI RENDAH KARBON
Jelasnya, negara ahli telah disaran untuk membuat pelaburan dalam teknologi rendah karbon sebagai usaha memperkukuh tindakan perubahan iklim.
“Dalam hubungan ini, keputusan Kerajaan untuk melaksanakan CCUS dan mewujudkan satu rangka kawal selia yang komprehensif adalah selari dengan hala tuju masyarakat
antarabangsa,” tambahnya.
Tambahnya, RUU CCUS merupakan satu kerangka perundangan bagi mengawal selia aktiviti CCUS di Malaysia.
EMPAT KOMPONEN UTAMA
Secara amnya, kata Rafizi RUU CCUS
memperuntukkan kuasa berkaitan kawal selia empat komponen
utama CCUS iaitu pemerangkapan, pengangkutan, penggunaan dan
penyimpanan karbon dioksida (CO2).
“RUU CCUS ini akan berkuatkuasa
di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Rafizi berkata, pelaksanaan aktiviti penyimpanan karbon dioksida secara kekal akan dimulakan di kawasan luar pesisir terlebih dahulu sehingga kajian kebolehlaksanaan penyimpanan karbon dioksida di kawasan daratan dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi pada tahun ini. – JM
