






6 MAC 2025
Malaysia bakal menyaksikan lahirnya mikrocip ‘Made by Malaysia’, satu pencapaian yang mencerminkan keupayaan serta daya inovasi anak tempatan dalam bidang berteknologi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan sekadar satu lonjakan ke hadapan, tetapi telah membukti bahawa negara kita mampu berdiri seiring dengan kuasa besar dunia dalam industri semikonduktor.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI kini terus melangkah ke hadapan dalam industri teknologi tinggi dengan memeterai kerjasama strategik bersama gergasi reka bentuk seni bina cip iaitu ARM Holdings plc.
Jelasnya, menerusi perjanjian yang dimeterai ini telah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
MENANDAKAN ERA BAHARU
“Ia sebagai menandakan era baharu di mana Malaysia bukan lagi hanya bertindak sebagai hab pembuatan cip, sebaliknya turut menjadi peneraju dalam inovasi dan pembangunan teknologi tersebut di rantau ini,” katanya menerusi perkongsian di FB.
Perdana Menteri berkata, dengan perjanjian ini juga merangkumi komitmen untuk melahirkan 10,000 jurutera litar bersepadu (IC) dalam tempoh empat tahun.
“Satu langkah penting dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan menjadi tulang belakang kepada kemampanan industri ini,” katanya.
Malah katanya, syarikat tempatan turut berpeluang mengakses teknologi serta portfolio harta intelektual (IP) milik ARM, sekali gus membolehkan mereka bersaing di peringkat global dengan keupayaan inovasi yang lebih mantap.
MEMPERKUKUH EKOSISTEM INDUSTRI
“Apa yang lebih bermakna adalah kerjasama ini akan memperkukuh ekosistem industri semikonduktor negara dengan membangunkan rantai bekalan tempatan yang lebih utuh dan mampan,” tambahnya.
Selain itu katanya, Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal mendapat manfaat besar menerusi peluang penyertaan dalam industri berteknologi tinggi ini,
Sehubungan itu katanya ia membuka ruang bagi lebih banyak produk semikonduktor yang bukan sahaja direka bentuk di Malaysia tetapi juga dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
Dengan langkah ini kata Perdana Menteri, Malaysia sedang meletakkan asas kukuh untuk menjadi hab inovasi teknologi yang disegani di rantau ini.
“Insya-Allah, dengan kepakaran, kesungguhan, dan dukungan padu semua pihak, negara akan terus mara ke hadapan sebagai pemain utama dalam arena semikonduktor dan AI di peringkat global,” katanya. – JM
