Hari Wilayah 2025: Dr Zaliha dikurnia Datuk Seri, Fahmi Fadzil kini Datuk

7 MAC 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 hari ini.

Kenyatan media Jabatan Wilayah Persekutuan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat berkenaan kepada semua penerima di Balairung Seri, Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, turut berangkat ke istiadat berkenaan.

Dr Zaliha dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim mendahului senarai penerima masing-masing dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

SENARAI SEMBILAN INDIVIDU

Sementara itu, Fahmi mengetuai senarai sembilan individu yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima PMW yang lain adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Penasihat Undang-Undang Istana Negara Zulharry Abdul Rashid.

Selain itu, enam individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), lima individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), empat individu dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan enam individu menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

ISTIADAT YANG BERLANGSUNG

Istiadat yang berlangsung kira-kira sejam itu, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan Jemaah Menteri serta dif-dif kehormat.

Jabatan Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan
menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa
dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima Darjah
Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun 2025. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *