KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN ISU PENGHINAAN TERHADAP AGAMA

  1. Agensi-agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh penegasan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa Kerajaan akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perbuatan menghina agama tanpa pilih kasih selaras dengan peruntukan undang-undang negara.
  2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dalam memastikan kes penghinaan Islam di bawa ke muka pengadilan. Mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Sepertimana proses siasatan dan pendakwaan kes-kes penghinaan Islam sebelum ini, ia menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian bernegara.
  3. ⁠ Perbuatan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini hingga mencetuskan kegelisahan awam adalah amat dikesali. Semua pihak adalah diseru untuk menghormati undang-undang serta proses siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa demi kepentingan negara.
  4. ⁠Agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
  5. ⁠ Marilah kita semua membangunkan Malaysia Madani dengan semangat perpaduan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Sekian, terima kasih.

SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

7 Mac 2025

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *