








Petikan FB Fadhlina Sidek
9 MAC 2025
Perjalanan seorang wanita yang beraspirasi dan mahu terus membina legasi mesti bermula dengan perjalanan ilmu dan kesarjanaan.
Dalam masa yang sama mesti punya “conviction” apabila mempertahankan hak dan perkara yang substance dan auntentik.
Izinkan saya merujuk konteks kritis Surah Al-Mujadalah tentang senario perbantahan dan pertanyaan sanggah Khaulah sehingga digelar wanita yang membuat gugatan.
Kata Hamka, suatu perbantahan yang indah sekali, sehingga dijadikan nama Surah.
DENGAN HUKUM ZIHAR
Kisah Khaulah ini bukan sahaja berkaitan dengan hukum Zihar tetapi bagaimana Al Quran mengangkat wanita biasa tetapi penuh “conviction” kepada agama dan tegas dalam isu yang paling “central” dalam kehidupan iaitu hukum kekeluargaan.
Mengapa Surah ini dinamakan Al-Mujadalah adalah simbolik kepada desakan, pertanyaan dan aduan Khaulah yang cukup signifikan dalam menjelaskan isu yang cukup besar impaknya.
Jadi di mana “empowerment”/pemberdayaannya?
Ia berlaku ketika Allah menjawab persoalan Khaulah. Ia tidak berlaku dengan proses aduan semata, tetapi bagaimana Khaulah sendiri menekuni hukum, memahami agamanya, ketelitiannya terhadap hukum hubungan suami isteri, sehingga Allah sendiri mengangkat Khaulah dalam kisah yang luar biasa ini.
JIKA MAHU BERCAKAP
Maka, jika mahu bercakap tentang “women empowerment”, inilah perspektif quraniyy yang mesti diangkat sebagai bukti esensi bahawa ia bermula dengan keyakinan keagamaan yg kuat.
Lebih menarik bagaimana Saidina Umar Al khattab sendiri mengiktiraf Khaulah dengan memberhentikan perjalanan hanya untuk mendengar pesanan Khaulah.
Terpinga-pinga delegasi Saidina Umar. Bagaimana seorang wanita boleh menghentikan perjalanan seorang Amirul Mukmin?
DARI ATAS LANGIT
Jawab Umar: itu adalah Khaulah. Yang didengar Allah perkataannya dari atas langit. Kalau Tuhan Sarwa sekalian alam mendengar perkataannya, mengapa Umar tidak mahu mendengarkannya?
Khaulah bukan kisah biasa. Khaulah sangat fenomenal. Aspirasinya adalah landasan keilmuan yang memberikan kesan langsung kepada legasi wanita seterusnya, zaman berzaman!
Ambillah kisah Khaulah untuk terus beraspirasi dan seterusnya membina legasi!
Selamat Hari Wanita Antarabangsa! 🩵🩵🩵 – JM
