Pengendali radio Era FM dikompaun RM250,000 – MCMC

Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2025

Pengendali stesen radio Era FM iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd
dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) hari ini memaklumkan kompauan itu dikenakan mengikut kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025).

Kesalahan tersebut kerana telah memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

“Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara,” kata kenyataan MCMC lagi.

MCMC juga telah menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd,
berhubung notis niat penggantungan lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac 2025.

HUJAH-HUJAH RAYUAN

Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan telah dibuat untuk tidak menggantung lesen pengendali stesen radio Era FM itu.

Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.

MCMC memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Semua pengendali dan pengguna platform media sosial diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *