






Oleh: Sholina Osman
12 MAC 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu mempunyai satu hala tuju yang jelas melalui inisiatif “UniMAP Beyond 2030”.
Titah Baginda ia bertujuan untuk mengalami lonjakan yang berterusan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan “Majlis Iftar @ UniMAP” di Surau Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor universiti.
KEBERANGKATAN TIBA BAGINDA
Menyambut keberangkatan tiba Baginda berdua ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Sufri Mhd Zin; Naib Canselor, Prof. Datuk Ts Dr. Zaliman Sauli; serta pengurusan tertinggi universiti.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, inisiatif “UniMAP Beyond 2030”
memerlukan perbincangan yang menyeluruh, melibatkan sama pengurusan utama universiti, baik yang sebelum ini mahupun yang sekarang, demi kemajuan universiti yang disayangi ini.
Raja Muda juga menawarkan diri menjadi sebahagian daripada ahli perbengkelan ini bersama-sama Pro Canselor bagi menilai pencapaian yang telah lalu, pencapaian semasa, serta sama-sama merangka hala tuju masa hadapan.
ASPEK-ASPEK PENTING
“Dalam usaha ini, kita perlu memberi perhatian kepada aspek-aspek penting seperti kedudukan UniMAP dalam The Times Higher Education (T.H.E.) World University Rankings, The QS World University Rankings dan KPI-KPI lain yang menjadi penanda aras kecemerlangan universiti,” titah Baginda.
Tambah Baginda, sebagai seseorang yang telah bersama UniMAP sejak era Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) lagi, Baginda yakin pengalaman pengurusan yang terdahulu dapat menjadi rujukan yang sangat berharga, sementara kepimpinan baharu pula akan membawa idea-idea segar yang sejajar dengan perubahan global.
“Perbincangan yang inklusif ini, InsyaAllah, akan mampu memastikan strategi akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan kolaborasi industri dapat dilaksanakan dengan efektif. Ini seterusnya akan memperkukuh kedudukan UniMAP bersiapsiaga sebagai sebuah institusi unggul di peringkat antarabangsa bagi mendepani segala cabaran 10 hingga 20 tahun kehadapan,” titah Baginda.
PELAJAR UniMAP TERPILIH
Di majlis yang sama seramai 361 orang pelajar UniMAP terpilih yang berasal dari seluruh negara dari kalangan keluarga asnaf yang layak menerima agihan zakat daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hadir.
Masing-masing menerima RM300 disampaikan oleh Raja Muda dan Raja Puan Muda.
Pihak MAIPs memperuntukkan RM150,000 untuk tujuan tersebut kali ini.
Terdahulu daripada itu acara simbolik penyerahan dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor kepada Zaliman disaksikan oleh Baginda berdua. – JM
